chingu.....

Thursday, December 8, 2011

Cinta Islamik?

Memang sudah menjadi naluri remaja untuk bercinta dan dicintai. Sudah menjadi kebiasaan mereka apabila mereka yang dilamun cinta ini menjadikan agama sebagai landasan bagi menghalalkan percintaan sebelum perkahwinan yang sudah terang-terangan haram dalam Islam. Antara ayat-ayat yang kerap mereka ucapkan seandainya berbicara tentang cinta adalah:
'ala..aku couple dengan dia sebab nak tolong dia berubah..'
'saya cintakan awak kerana Allah..'
'Kita couple tapi bukan buat maksiat pun..'
Firman Allah S.W.T:
"Dan janganlah kalian mendekati zina; Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. dan suatu jalan yang buruk." (Al-Israa': 32)
Allah menurunkan ayat ini kerana iman manusia ada turun naik nya, mungkin hari ini iman kita setebal tembok batu tapi mungkin keesokannya iman kita menjadi lebih nipis daripada kulit bawang. Bagaimana kita bisa menjamin kekuatan iman kita sedangkan kita mendekati zina? Bercinta atau lebih tepat ber'couple' sebelum adanya ikatan perkahwinan yang sah adalah landasan utama yang akan mendekatkan diri kita dengan zina. Bermula dengan perasaan sayang yang konon-konon berlandaskan agama, secara automatik perasaan rindu akan terbit. Rindu ini akan membelenggu minda dan menjadikan kita alpa.
'macam mana nak cakap dengan dia ni? Aku sayang dia!'
'kalau minta 'break', nanti dia sanggup tunggu aku ke?'
'
'tak apa kot, kami bukan macam pasangan lain,kami jaga pergaulan walaupun 'couple'
'kita couple ni kan sebab nak berubah sama-sama. Tak salah..'
Sahabat, andai percintaan ini berjaya berakhir dengan pernikahan yang sah sekalipun ia terbina atas dasar maksiat. Kesannya?. Nauzubillah! Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala-galanya.
Menolak cinta sebelum adanya pernikahan yang sah tidak bermakna kita perlu beserah 100%  tanpa usaha. Usaha yang perlu kita lakukan adalah dengan menjadi hamba Allah yang terbaik dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Sebagaimana janji Allah yang berbunyi, Allah menciptakan lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.
Firman Allah di dalam Surah An-Nur:
"dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)." (Al-Nur 24 :26)
Iya, untuk sabar dan menolak sesuatu yang telah menjadi 'realiti kehidupan' ini memang pahit, tapi yakinlah bahawa buahnya sangat manis. Insya-Allah! Ayuh! Kita sibukkan diri agar dapat kuatkan diri dan hati. Ayuh! Kita ubah prinsip, andai sebelum ini kita jadikan agama landasan untuk menghalalkan apa yang haram, sekarang kita jadikan agama sebagai landasan menolak untuk mengadakan hubungan percintaan sebelum pernikahan. Ayuh! Kita abadikan doa ajaran Rasulullah ini dalam sujud ;
"Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin orang-orang bertaqwa" (Al-Furqan 25:74")
Ingatlah! percintaan selepas adanya ikatan perkahwinan yang sah akan mendapat keberkatan Allah, mawaddah warahmah akan kekal subur dan sentiasa mekar dalam keberkatan.
sumber : www.iluvislam.com

Awak, Kenapa Kahwin Dengan Saya?

"Aku terima nikahnya Fatimah Az-Zahrah binti Mohamad Nasir dengan mas kahwin RM80.00 tunai".
Dengan sekali lafaz, aku kini sah bergelar isteri. Lidahku kelu tidak mampu berkata apa-apa. Perasaanku bercampur baur. Pipiku terasa hangat dan basah. Aku tidak pasti mengapa air mataku jatuh sedangkan aku sepatutnya gembira dengan pernikahan ini.
Abdul Rahman bin Abdullah, itu lah nama jejaka yang kini telah sah menjadi suamiku. Dialah yang akan menjadi teraju masjid yang telah kami bina. Orangnya tinggi, kulitnya agak cerah, matanya bersinar, wajahnya seakan-akan bercahaya. Mukanya tidaklah persis Orlando Bloom yang dinobatkan menjadi "hot papa", mahupun Kim Hyun Joong yang menjadi kegilaan ramai gadis. Dia tidaklah terlalu kacak, tetapi sedap mata memandang. 
Dirinya memang selalu menjadi buah mulut orang. Apakan tidak, sudahlah mukanya manis di pandang, di tambah pula dengan sikapnya yang zuhud. Ya, dia seorang yang taat kepada Maha Pencipta, Tuhan Sekalian Alam. Selepas sahaja dia melafazkan akad, dia terus lakukan sujud syukur. Sungguh. Dia memang menjadi idaman siapa sahaja yang melihatnya. Aku juga aneh kenapa dia memilih aku? Sedangkan dia begitu baik, begitu alim, begitu sempurna..
Hingga detik ini aku masih belum mendapat jawapannya. Kenapa aku yang dipilihnya? Aku bukanlah baik mana. Kalau diikutkan, di luar sana, masih ada berjuta wanita yang boleh dipilihnya. Masih ramai lagi yang lebih baik daripadaku. Tapi, kenapa aku? Pakai tudung pun masih tidak pecus lagi. Kerap kali pemakaian tudung ku masih tidak mengikut saranan agama.
"Alhamdulillah. Sekarang, kita sah menjadi suami isteri. Abang harap, dengan penyatuan kita, dapatlah kita sama-sama berjuang ke jalan Allah", ujar suamiku menghentikan lamunanku sebentar tadi.
Di pandangnya wajahku, kemudian di lapnya benih-benih jernih yang keluar dari kelopak mataku. Selepas disarungkan cincin ke jari manisku, kusalam tangannya. Dia kemudiannya mencium dahiku. Entah kenapa pada waktu itu aku terasa tenang. Aku dapat rasakan keselamatan yang selama ini tidak pernah kurasakan dengan mana-mana lelaki lain. Aku tidak mampu berkata apa-apa. Air mataku tetap laju merembes keluar dari hujung pagar kelopakku.
"Alhamdulillah, anak mak sudah jadi isteri orang sekarang ni. Jadi isteri ni, tak mudah. Tapi, banyak ganjarannya. Lepas ni, kamu kena duduk dengan suami, jaga makan minum suami. Pesan mak jangan lupa, ya nak. Kata suami jangan ingkar", pesan ibuku sebelum aku pergi mengikut suamiku pulang ke rumah baru kami.
***
"Zahrah, dari tadi Abang tengok Zahrah diam je. Kenapa? Zahrah tak sedap badan ke?" tanya suamiku memecahkan kesunyian yang tercipta di antara kami.
Aku masih tidak mampu untuk berkata apa-apa. Ku gelengkan sahaja kepalaku menunjukkan kepadanya bahawa aku tidak apa-apa. Namun, dia terus ajukan soalan kepadaku,"Dah tu, kenapa Zahrah diam? Zahrah rindu mak ye?"
 Usikannya langsung tidak mendapat respon daripadaku. Aku masih duduk kaku di sofa ruang tamu rumah kami.
Alhamdulillah. Biarpun, rumah kami tidaklah besar mana tapi cukup dengan kelengkapan rumah. Set sofa, televisyen, peti sejuk, semuanya sudah lengkap tersedia. Suamiku memang benar-benar bijak merancang sebelum berkahwin. Dilengkapi dulu segalanya sebelum dia masuk merisik si gadis sunti.
Perlakuanku yang dari tadi diam membisu ibarat seorang anak kecil yang baru lepas dimarahi menyebabkan si dia mengambil keputusan untuk mendekatiku justeru terus mengatur langkah ke arahku dan mengambil posisi betul-betul di sebelahku. Di pegangnya pipiku, diusapnya kepalaku. Wajahnya begitu tenang menyebabkan aku turut tenang. Terus terdetik dalam hatiku 'Ah, untungnya badan.
Sudahlah kacak, baik pula tu' Ditenungnya mataku dalam-dalam sebelum dia bertanyakan semula padaku, "Zahrah, kalau awak tak selesa Abang faham. Ni kali pertama awak hidup tanpaparents kan. Abang faham Zahrah. Susah bagi awak nak terima semua ni. Tapi, dari tadi  Abang tak nampak pun Zahrah senyum. Kot ye pun, senyum lah sikit. Zahrah comel tau kalau senyum," dia cuba memujuk agar aku mengukir senyuman.
Entah kenapa, bibirku mula mengukir senyuman. Aneh. Kenapa aku akur dengan kata-kata dia? Ah! Aku tidak mahu lagi berada dalam kekeliruan. Aku perlu tahu kenapa dia beria-ia mahu menikahi aku. Gadis yang begitu banyak kelemahannya. Gadis yang tak pernah pun ambil peduli pasal dia malah aku tak pernah mengenalinya secara dekat sebelum ini. Oleh sebab itu aku perlu tahu. Aku ni sekadar pelengkap hidup dia yang sememangnya lengkap tu ke? Ye lah. Semuanya dia ada. Yang kurang, cuma isteri. Lagi-lagi umur dia yang dah masuk 30-an. Entah-entah aku ni pilihan dia yang terakhir.
"Hmm.... awak, kenapa awak nak kahwin dengan saya?" ayat pertama yang keluar dari rongga mulutku setelah bergelar suami isteri.
"Laa.. Sebab tu je ke. Zahrah cuma nak tahu tu je? Tu yang Zahrah diam membisu dari tadi?", ujar sang suami diikuti ketawa kecil.
"Awak, saya tanya kenapa awak nak kahwin dengan saya?" tanyaku dengan nada yang lebih tegas.
"Hmm... Zahrah nak Abang jawab macam mana? Biar Abang jawab asalkan isteri Abang senyum,"soalanya kembali dengan lemah lembut.
"Awak, saya tak main-main ni. Saya tanya sekali lagi. Kenapa awak kahwin dengan saya?"bentakku.
"Okay. Abang akan jawab. Tapi, sebelum tu boleh Abang tahu kenapa Zahrah kahwin dengan Abang?" Soalnya pula seakan ingin menjeratku kembali.
Terkaku kelu lidahku mendengar ungkapan balas darinya. Ya, kenapa aku mengahwininya? Kalau aku tidak mahu, boleh saja aku katakan tidak. Tapi, kenapa aku terima? Kenapa aku tidak membantah di saat ibu dan ayah menjodohkan aku dengan dirinya? Apa yang membuatkan aku tertarik dengan si dia? Sebab wajahnya kah? Atau sebab kebijaksanaan si teruna? Atau mungkin kerana keimanannya? Aku tidak tahu. Aku keliru.
"Kenapa Zahrah membisu?" tanya si suami membuatkan aku tersedar.
"Saya tanya awak dulu kan! Awak jawab je lah! Jangan nak ubah topik boleh tak?" Bentakku sudah hilang sabar kerana terasa seolah      sedang dipermainkan.
Dia agak terkejut dengan nada ku yang tinggi itu. Namun dia tidak marah. Yang menghairankan ku lagi, dia cuma tersenyum.
"Abang kahwin dengan Zahrah sebab Allah," ujarnya ringkas tetapi seakan penuh makna.
"Awak, dari dulu sampai sekarang itu je yang awak kata. I need your explanations! Please, I need to know the truth. Stop fooling around with God's name, boleh tak? Kalau awak nak menarik perhatian saya dengan jawapan awak tu, fine! You've made it! Saya tertarik bila dengar awak cakap macam tu. Tapi, sekarang please lah! Since, kita memang dah sah jadi husband and wife, I need to know why. And by saying that, I mean, explanation. saya tak nak hidup dalam kekeliruan. Hidup dalam sangkaan yang awak kahwin dengan saya sebab saya ni last choice.I'm tired of being the person who people i'll turn to bila diorang tengah lonely. Bila diorang dah tak ada tempat lain untuk mengadu, untuk berseronok, untuk bergelak tawa, baru diorang nak cari saya. Saya penat diperlakukan sebegitu. Awak faham?" jawabku panjang dan keras.
Ku palingkan mukaku darinya. Entah kenapa aku begitu takut untuk berkata kasar tepat pada wajahnya. Entah kenapa secara automatik aku berkata begitu tanpa ada sedikit pun keberanian memandang mukanya.
Sekali lagi, dia mengalihkan wajahku tepat memandang wajahnya. Senyuman nipis terukir di bibirnya. Tiada langsung bara kemarahan yang dapat dilihat dalam irisnya.
"Abang kahwin dengan Zahrah cuma ada satu sebab. Tak lebih, cuma satu. Orang lain, mungkin ada banyak sebab tapi bagi Abang, cukuplah satu sebab Abang. Abang kahwin dengan Zahrah bukan sebab Zahrah cantik. Abang akui, Zahrah memang cantik. Tapi, jujur Abang katakan kalau Abang nak cari yang lebih cantik, Abang boleh. Tu langsung tak menjadi masalah. Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab Zahrah bijak. Buat apa Abang kahwin dengan orang yang bijak yang satu hari nanti berkemungkinan besar akan pijak kepala Abang? Abang tak kahwin dengan Zahrah sebab kemewahan. Tidak Zahrah, tidak sama sekali. Kalau mahukan kemewahan, segalanya Abang dah ada. Rumah.. Kereta... Walaupun tidaklah sebagus dan semahal mana, tapi sekurang-kurangnya Abang ada," balasnya lembut penuh hikmah dengan makna yang amat mendalam.
Kata-katanya lagi sekali membuatkan flood gate ku mula penuh hanya menanti masa untuk dirembeskan. Aku benar-benar kaget mendengar ucapannya. Seketul organ yang aku bawa selama ini, yang aku jaga daripada dipermainkan oleh mana-mana insan yang bergelar lelaki bagaikan ditusuk dan dirobek-robek halus oleh kata-katanya. Sinis sungguh arjuna ini! Mentang-mentang aku sudah sah menjadi isteri, boleh pula dia suka-suka hati cakap macam tu kat aku. Indah khabar dari rupa sungguh! Mahu sahaja aku tampar mukanya. Namun, entah kenapa badanku terus diam kaku. Seakan-akan masih menanti kata-kata yang bakal keluar dari bibirnya.
"Zahrah nak tahu kenapa Abang kahwin dengan Zahrah? Jawapan Abang memang takkan berubah, sayang. Tidak kiralah macam mana pun Zahrah tanya Abang, jawapan Abang tetap sama. Abang kahwin dengan Zahrah kerana Allah. Allah yang menentukan jodoh kita. Rusuk Abang, ada pada Zahrah. Jadi, siapa yang dapat melindungi hati Abang melainkan Zahrah? Mungkin Zahrah fikir kita tidak secocok. Tapi, ini semua perancangan-Nya, Zahrah. Kecantikan Zahrah, kebijaksanaan Zahrah, kemewahan Zahrah, itu semua tidak menarik Abang kepada Zahrah. Apa yang menarik Abang pada Zahrah adalah Allah. Segalanya telah Allah tentukan. Bila kita lahir, bila kita meninggal, siapa jodoh kita, berapa banyak rezeki kita, semua itu Allah telah tetapkan, sayang," tutur suamiku ikhlas.
Sekali lagi, kata-katanya menusuk kalbuku. Kali ini, air mataku tidak dapat dibendung lagi. Tersedu sedan aku menangis mendengar kata-katanya. Terus dipeluknya aku erat. Saat ini, aku terasa nyaman. Selamat sungguh aku rasa dalam pelukannya. Biarpun tangisan ku semakin menjadi-jadi, tapi hatiku seolah-olah mendapat satu ketenangan yang tidak dapat aku ungkapkan.
"Apa yang boleh Abang katakan, Abang tidak mungkin akan mengungkapkan kata-kata seperti orang lain. Bermanis mulut mengatakan isterinya begini begitu, menjawab persoalan mengapa dia mencintai isterinya dengan memberikan pelbagai perumpamaan. Abang tidak mampu melakukan semua itu. Tapi, kalau itu yang Zahrah mahu, Abang usahakan. Dengan izin-Nya, insya-Allah, Abang cuba. Tapi, tolong jangan terus menerus mempersoalkan ini dan itu. Ini semua kehendak Yang Maha Esa, sayang. Kita Muslim, kepercayaan kepada Allah adalah asas. Itu tonggak kebahagiaan kita dunia akhirat. Abang harap, Zahrah faham. Kita hidup atas dunia ni sementara," pujuknya tatkala melihat aku mulai menangis.
"Ta....tapi..... Abang tak kenal pun Zahrah... Abang tak pernah tahu pun hati budi Zahrah," aku cuba menduganya dalam sedu-sedan.
"Sekarang pun, kita boleh kenal antara satu sama lain kan? kita dah jadi suami isteri, lebih mudahlah Abang nak kenal isteri Abang, tak gitu?"
"Ta....tapi..... Abang tak tahu siapa Zahrah. Zahrah ni jahat. Abang baik. A..." aku masih ingin menduganya. Aku mahu dia tahu aku bukanlah sebaik dirinya. Aku tidak setaraf dengannya.
Dilekapkan jari telunjuknya ke bibirku. "Tiada siapa yang boleh menentukan kebaikan seseorang melainkan Allah, sayang. Tiada seorang pun. Hanya Allah yang selayaknya untuk memutuskan siapa yang baik, siapa yang tidak."
Kualihkan jari runcingnya dari bibirku, lantas ku pandang wajahnya. Memang benar kata orang, memang sejuk mata memandangnya. Dia masih kelihatan begitu tenang biarpun aku sudah mengasarinya. Hebat sungguh arjuna ini mengawal emosinya. Aku mengerti jika dia marah. Sudahlah baru sahaja selesai resepsi, penat masih belum hilang, tak semena-mena isterinya pula buat hal. Kagum sungguh aku dengan lelaki yang telah selamat menjadi suamiku.
"Abang, Zahrah minta maaf. Zahrah tak bermaksud nak berkasar dengan Abang. Tapi, bila ada yang mempersoalkan sebab kita berkahwin, Zahrah jadi keliru. Sungguh" ujarku terketar-ketar dalam tangisan.
Suamiku hanya mendiamkan diri. Dibelainya aku perlahan dengan harapan dapat menenangkan aku.
"Abang sendiri tahu, Zahrah tidaklah secantik mana, tidaklah sebijak mana. Mahu dibanding dengan gadis yang pernah Abang temui, mungkin Zahrah tidak langsung setaraf dengan mereka. Lagi-lagi kita tidak pernah keluar bersama. Alih-alih, kita nikah. Mestilah timbul curiga dalam hati orang" terangku satu persatu.
"Zahrah, sudahlah tu. Abang faham Zahrah inginkan penjelasan. Memang Zahrah berhak tahu kenapa abang berkahwin dengan Zahrah. Im marrying you because of Allah and the answer will remain the same foreverZahrah percayakan Abang?" Soalnya ingin tahu isi hatiku.
Aku mengangguk tanda setuju.  Tidak ada lagi kalimah yang bisa kususun melainkan ucapan puji bagi Ilahi. Terima kasih, Ya Rabb kerana mempertemukan aku dengannya. Terima kasih, Azza wa Jalla kerana kau mempertemukan aku dengan seorang lelaki yang bisa mendekatkanku dengan-Mu. Terima kasih, Ya Allah!

Nikah Awal vs Maksiat !

Setiap saat, setiap waktu, setiap hari, setiap detik, para remaja di "bomb" dari segenap penjuru dengan pelbagai bentuk godaan yang boleh merangsang mereka agar tunduk kepada nafsu. Biasalah bila dah baligh, umur pun sudah meningkat, tanpa godaan pun keinginan tersebut akan timbul juga secara automatik. Apatah lagi sekiranya terdapat banyak godaan daripada suasana sekeliling. Maka secara logiknya, pasti keinginan seksual tu boleh teransang berlipat kali ganda malah, kadang kala ia turut berlaku pada belia yang baru menginjak ke usia remaja lagi.
Berita baru-baru ni mendedahkan kes remaja berumur 14 tahun secara senyap-senyap menjadikan hubungan seks sebagai hobi, dan ibu bapa remaja terbabit tidak tahu menahu langsung akan hal tersebut. Perkara ini mungkin mengejutkan masyarakat yang membacanya tetapi sebenarnya perkara sebegini sudah banyak terjadi dalam masyarakat kita. Ini kerana semuanya tidak mustahil apabila terdapat godaan dan rangsangan yang terlalu banyak di media massa dan elektronik. Maka inilah akibatnya apabila segala-galanya tidak dibendung dan segala perkara yang haram dihalalkan. Penyebab utama yang menyebabkan keruntuhan akhlak dan moral para remaja Islam.

Bayangkan jika sekarang ini sudah bermacam-macam perkara buruk terjadi terhadap generasi muda ini bagaimana pula nasib generasi muda pada masa akan datang? Berkemungkinan besar moral anak-anak muda akan lebih hancur, masyarakat menjadi punah ranah, dan negara akan jatuh kerana penuh dengan belia yang sudah rosak akhlaknya.
Maka apakah diantara jalan yang terbaik utk selesaikan masalah ini? Adakah jalan utk selamatkan spiritual remaja-remaja ini?
Setelah dirujuk pelbagai risalah dan buku-buku Islamik, yang membahaskan isu-isu semasa, dan cara-cara terbaik utk menyelamatkan masyarakat dan anak-anak muda, kebanyakkannya mencadangkan nikah awal sebagai satu cara untuk menghindarkan remaja daripada berterusan melakukan maksiat. Oleh itu, sebagai masyarakat yang prihatin kita seharusnya menggalakkan anak-anak muda supaya kahwin awal disamping menyediakan jalan untuk mereka agar dapat bernikah dengan sah tanpa syarat-syarat yang membebankan.
Islam amat menggalakkan anak-anak muda berkahwin awal. Kerana Islam melihat jiwa remaja pasti akan terancam lebih2 lagi dengan pelbagai godaan yg datang. Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T ada berfirman:
"Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang di antara kamu....Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka.." (24:32)
Memang benar Islam mengajar kita untuk berpuasa dan menahan nafsu, menjaga pandangan dan sebagainya, tetapi harus diingat, bukan mudah untuk mengawal keinginan nafsu, lebih-lebih lagi nafsu remaja. Oleh itu, perkahwinan adalah jalan terbaik untuk mereka agar menghindarkan diri mereka daripada nafsu.
Namun perkahwinan bukanlah perkara yang mudah. Ibu bapa sudah tentu menginginkan anak-anak mereka berjaya dalam pendidikan, seterusnya memiliki kerjaya yang stabil dan sebagainya. Sudah tentu ibu bapa berfikir bahawa sekiranya mereka membenarkan anak-anak mereka bernikah awal sudah tentu jumlah wang yang terpaksa dikeluarkan tidak terkira banyaknya. Untuk perkahwinan sahaja mungkin akan mencecah tiga puluh ribu ringgit itu belum termasuk kewangan untuk menyara kehidupan mereka selepas berkahwin. Maka disebabkan hal-hal ini ramai yang beranggapan bahawa kahwin awal itu seolah-olah membebankan dan menyusahkan.
Namun, sebagai ibu bapa relakah anda melihat anak-anak remaja anda menghampiri maksiat dan seterusnya terjerumus dalam perkara-perkara yang tidak diingini? Nauzubillah.. Bukankah lebih baik sekiranya anda mempermudahkan anak-anak anda untuk bernikah seandainya mereka dan pasangan mereka sudah terlalu sayang akan satu sama lain? Mungkin perbuatan tidak semudah kata-kata tetapi kita perlu teliti semua aspek dan kesan-kesan yang bakal anak-anak anda hadapi seandainya dibiarkan berterusan bercinta tanpa sebarang ikatan.
Maka, di sini ada disenaraikan beberapa cara untuk membantu anak-anak muda zaman sekarang kahwin awal , yg pertama:
1."Sokongan kewangan" daripada ibu bapa yang berkemampuan.
Ibu bapa yg berkemampuan digalakkan supaya memberi sokongan kewangan kepada para remaja-remaja ini agar mereka dapat berkahwin awal dan bantu mereka menyelesaikan apa-apa yang patut. Islam menggalakkan kita untuk menolong manusia lain yang berada dalam kesusahan sebagai contohnya membantu orang-orang miskin dan orang sakit, oleh itu, sudah tentu sekiranya kita membantu anak sendiri membina masjid iaitu mendirikan rumah tangga ganjarannya pasti lebih besar bukan? 
2. Sokongan Masyarakat.
Masyarakat sewajarnya mewujudkan sebuah organisasi yang menyediakan dana untuk menolong anak-anak remaja ini berkahwin awal. Mengikut sejarah, pernah sekali, seorang lelaki ditangkap dan dibawa menghadap Sayyidina Ali atas perlakuan yg tidak sopan. Selepas Ali menjalankan hukuman yg sepatutnya, beliau mengahwinkan pemuda ini dengan menggunakan kewangan negara.
3. Nikah Gantung.
Iaitu si teruna dan dara tersebut bernikah untuk menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita. Majlis perkahwinan tersebut ditangguh selepas satu ketika dimana pasangan tersebut telah mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Kebiasaannya mereka akan tinggal berasingan untuk memfokuskan diri terhadap pelajaran dan sebagainya. Tetapi mereka ini dihalalkan untuk berjumpa dan berpegangan tangan, berdating dan sebagainya ini kerana hubungan antara mereka telahpun halal jika mengikut syarak. Oleh itu andainya mereka bercinta sakan umpama sepasang kekasih yang selalu kita lihat berpeleseran di shopping-shopping complex sekalipun mereka tidak akan mendapat dosa kerana mereka tidak melakukan maksiat.  Malah, seandainya mereka mengambil keputusan untuk tinggal bersama dan melakukan hubungan suami isteri juga tidak salah malah di galakkan didalam Islam. 
4.  Bernikah seperti biasa tetapi..
Cara yang terakhir adalah pasangan remaja ini bernikah dan mengadakan majlis perkahwinan seperti biasa namun, bijak merancang kekeluargaan agar tidak menimang cahaya mata sehingga mempunyai pekerjaan yang tetap dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh. 
Ya,begitulah antara kaedah-kaedah yang boleh anda lakukan untuk menggalakkan perkahwinan antara remaja agar dapat mengelak fitnah dan maksiat. Namun, perlu diingatkan ibu bapa perlulah bersikap terbuka sekiranya anak mereka menyatakan hasrat untuk berkahwin walaupun dikala usia masih muda. Selaku ibu bapa anda juga perlu menasihatkan anak bahawa mereka perlu serius dan komited sekiranya benar-benar ingin berkahwin. Ini kerana perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah. Onak duri kehidupan itu pasti akan lebih terasa selepas berada di dalam alam perkahwinan. Sabar, tabah dan keimanan yang tinggi perlu di terapkan dalam jiwa agar perkahwinan yang dibina itu tidak berakhir dengan perkara-perkara yang tidak diingini. Selepas berkahwin, pasangan perlulah membimbing antara satu sama lain agar dapat mendekatkan diri mereka kepada Allah S.W.T.
Apabila kita memahami perspektif Islam yang menggalakkan perkahwinan awal, maka insya-Allah kita akan bersikap lebih terbuka untuk membenarkan remaja-remaja ini berkahwin awal. Andainya ada antara mereka yang belum sempurna pendidikan agamanya, adalah baik seandainya ibu bapa mendidik mereka dengan ilmu agama samada sebelum dan selepas berkahwin. Usahlah anda menghalang para remaja yang ingin mendirikan rumah tangga seandainya mereka masih belajar di Universiti atau Kolej. Yakinlah, dengan bantuan Allah sudah tentu mereka masih boleh menamatkan pengajian masing-masing walaupun bernikah ketika masih belajar.
Bukanlah, niat saya hendak memaksa para ibu bapa mengahwinkan anak-anak anda diwaktu usia muda. Namun, ini adalah antara jalan terbaik yang diajarkan oleh Islam itu sendiri. Terpulang pada anda untuk menentukan yang mana yang lebih baik untuk anak-anak anda kerana sudah tentu anda lebih mengenali mereka. Cuma, seandainya anda mendapati anak remaja anda sudah terlalu sayang dan cintakan kekasihnya bukankah lebih baik untuk menghalalkan hubungan tersebut?

 sumber : www.iluvislam.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...